Falsafah kecantikan dan keindahan dalam Cinta
Kecantikan
dan keindahan ialah suatu anugerah Allah kepada manusia yang boleh
menilainya dengan saksama. Kedua-dua konsep abstrak itu adalah
subjektif, kerana sesuatu yang cantik dan indah kepada seseorang belum
tentu cantik dan indah pada orang lain. Kecantikan tidak saja terbatas
kepada wanita, tetapi semua kejadian Allah yang ada dimuka bumi yang
boleh kita lihat dan juga yang boleh kita bayangkan melalui Al-Quraan
dan Sunnah yang ada di syurga atau di alam kemudian.
Apabila
seseorang memandang wanita yang cantik, bukan fizikalnya yang penting
dilihat, tetapi kecantikan dan keindahan makhluk Allah itu yang perlu
kita perhatikan. Cantik ertinya tidak ada sedikit pun cacat pada dirinya
dan indah sebab kombinasi wajahnya yang serasi dengan konsep keindahan
yang kita ada. Akhirnya kita akan mengakui bahwa cantik dan indah itu
dari Allah dan setiap ciptaan Allah itu lengkap dan sempurna.
Maka
akan lahirlah keinginan untuk memiliki kecantikan dan keindahan itu.
Antara insan mungkin akan timbul rasa cinta. Terdapat dua istilah yang
disebut dalam novel atau filem ayat-ayat cinta iaitu memiliki atau
mencintai. Dua konsep abstrak ini boleh kita lihat dalam perspektif yang
berbeza. Lelaki boleh mencintai wanita, begitu juga sebaliknya. Lelaki
juga boleh memiliki wanita dan sebaliknya. Apakah perbezaannya antara
memiliki dan mencintai. Dalam cinta aspek kerjasama sangat ditekankan
sehingga kerelaan berkorban untuk yang dicintai itu terserlah jelas.
Sementara memiliki memperlihatkan kekuasaan lelaki terhadap wanita atau
kekuasaan wanita terhadap lelaki.
Antara
konsep kerjasama dan kekuasaan sangat jauh berbeza. Cinta, kerjasama,
pengorbanan, saling memerlukan merupakan kelompok perkataan yang
menggambarkan kesyahduan, keamanan, keserasian, keindahan dan keintiman.
Kekuasaan, ego, kebencian, persaingan berada pada kelompok kekuasaan.
Jadi, sangat jelas perbezaan antara memiliki dengan mencintai.
Bahagialah
orang yang mendapat seseorang yang mencintainya kerana cinta melahirkan
keindahan dalam berumah tangga dan kehidupan. Rela, ikhlas dan pasrah
antara kata-kata indah dalam rumah tangga harmonis dan hubungan yang
kekal. Ramai lelaki atau wanita yang membeli cinta gagal dalam hidupnya
kerana cinta yang dibeli samalah dengan memiliki. Pembelian cinta boleh
berlaku dengan wang ringgit dan pangkat, namun cinta sejati lahir dari
hati yang ikhlas, murni dan pasrah. Cinta sejati lahir kerana cinta
kepada Allah itu kuat. Melalui cinta kepada Allah yang kuat kita dapat
mencintai yang lain dengan sempurna. Dalam istilah cinta yang banyak
berlaku ialah memberi bukan meminta. Jika kita terus menagih cinta
bermakna kita tidak ikhlas dalam bercinta. Apakah setiap yang kita beri
memerlukan balasan? Kalau itu masih ada pada kita, namanya cinta kita
tidak ikhlas. Keikhlasan ialah memberi tanpa mengharapkan balasan.
Cintailah
Allah kerana Dia tidak memerlukan balasan, indah kalau kita mendapat
cinta Allah kerana tidak ada batas dalam cinta kepada Allah. Cinta
kepada manusia adalah manifestasi cinta kita kepada Allah. Rasa lega
yang amat sangat kalau kita terus menyandarkan cinta kita kepada Allah
kerana tidak akan rasa hampa kerana Allah sangat mencintai makhluk yang
Dia cipta iaitu manusia.
Marilah kita cari cinta Allah semata-mata.
Minggu 29 september 2013
0 komentar:
Posting Komentar